KEBERKESANAN BLOK LEGO SEBAGAI MEDIUM TERAPEUTIK TERHADAP KEMAHIRAN SOSIAL MURID AUTISME

Authors

  • Nazrin Saleha Thajuddin Universiti Kebangsaan Malaysia
  • Mohd Mokhtar Tahar

Keywords:

Autisme, LEGO, kemahiran sosial, terapeutik

Abstract

Berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang lain adalah proses penting bagi murid Autisme dalam sesi pembelajaran di sekolah. Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk mengenalpasti keberkesanan penggunaan blok LEGO sebagai medium terapeutik terhadap kemahiran sosial murid Autisme serta mengenalpasti aspek kemahiran sosial yang menunjukkan peningkatan selepas sesi terapeutik LEGO dijalankan.  Reka bentuk kuasi- eksperimen menggunakan ujian pra dan pasca telah diaplikasikan dengan menggunakan senarai semak kemahiran sosial murid Autisme sebagai instrumen kajian. Sampel kajian terdiri daripada 30 orang murid Autisme dari 3 buah sekolah rendah yang mempunyai kelas Program Pendidikan Khas Integrasi di Wilayah Persekutuan Putrajaya. Data dianalisis dengan menggunakan aplikasi SPSS versi 26.0. Semua murid akan dibahagikan kepada dua kumpulan yang terdiri dari tiga murid kumpulan eksperimen dan tiga murid kumpulan kawalan. Data tahap kemahiran sosial murid Autisme dianalisis dengan menggunakan analisis deskriptif yang melibatkan peratus, min dan sisihan piawai dan analisis inferen yang melibatkan ujian t. Hasil analisis ujian pra dan ujian pasca menunjukkan peningkatan yang signifikan pada tahap kemahiran sosial murid Autisme kumpulan eksperimen dan tiada peningkatan yang signifikan bagi ujian pra dan pasca kumpulan kawalan. Aspek interaksi sosial menunjukkan peningkatan yang paling tinggi, diikuti aspek kerjasama, komunikasi dan menunggu giliran. Rumusannya, penggunaan blok LEGO sebagai medium terapeutik berjaya meningkatkan kemahiran sosial murid Autisme dan wajar dijadikan panduan dan alternatif bagi guru untuk melaksanakan sesi pengajaran dan pemudahcaraan di sekolah.

Downloads

Published

2022-06-30