PERBANDINGAN TAHAP MOTIVASI TERHADAP STEM ANTARA JANTINA BAGI PELAJAR PRAUNIVERSITI
Keywords:
Motivasi, STEM, pelajar prauniversiti, jantinaAbstract
Reka bentuk kajian ini bersifat kuantitatif dengan kaedah tinjauan deskriptif. Kajian ini bertujuan mengukur tahap motivasi terhadap STEM serta membandingkan tahap motivasi terhadap STEM dalam kalangan pelajar prauniversiti berdasarkan jantina. Soal selidik yang digunakan mengandungi 11 item; terdiri daripada empat item motivasi terhadap sains, tiga item motivasi terhadap teknologi dan kejuruteraan, serta empat item motivasi terhadap matematik. Seramai 748 pelajar yang menjalani pembelajaran peringkat prauniversiti di sebuah kolej telah diminta untuk menjawab soal selidik tersebut. Analisis data telah dijalankan dengan menggunakan perisian Statistical Package for the Social Sciences. Skor min diambil kira bagi mengukur motivasi pelajar terhadap STEM sementara ujian–t tak bersandar telah diguna pakai untuk membandingkan tahap motivasi berdasarkan jantina. Dapatan analisis menunjukkan bahawa motivasi pelajar terhadap STEM adalah pada tahap tinggi bagi pelajar lelaki manakala pelajar perempuan pula menunjukkan motivasi pada tahap sederhana. Sementara itu, ujian–t tak bersandar membuktikan bahawa perbezaan dalam motivasi terhadap STEM di antara pelajar lelaki dan perempuan adalah signifikan. Maka, Hipotesis Nol bagi kajian ini telah ditolak. Hasil kajian ini dapat memberi gambaran berkenaan tahap motivasi terhadap STEM dalam kalangan pelajar prauniversiti. Implikasinya, pendidik perlu merancang tindakan yang sesuai untuk pelajar bagi mendepani perkembangan pendidikan STEM supaya jurang tahap motivasi terhadap STEM antara jantina dapat dikurangkan.