Komparatif Kemahiran Kebolehpasaran Pelajar Persijilan Kemahiran Malaysia dengan Keperluan Bakal Majikan di Industri
Keywords:
kemahiran kebolehpasaran, persijilan kemahiran Malaysia, kemahiran interpersonal, kemahiran penyelesaikan masalahAbstract
Kajian ini bertujuan untuk membandingkan kemahiran kebolehpasaran yang dimiliki oleh pelajar persijilan kemahiran Malaysia di pusat-pusat bertauliah swasta dengan kemahiran keboleh pasaran yang diperlukan oleh bakal majikan di Industri. Kajian ini mengunakan pendekatan kuantitatif melalui kaedah tinjauan dengan menggunakan instrumen soal selidik. Kajian ini dilaksanakan di negeri Pulau Pinang, melibatkan seramai 123 orang pelajar Persijilan Kemahiran Malaysia bidang Elektronik Industri di pusat bertauliah swasta dan 53 orang majikan dalam Industri Elektronik. Sampel-sampel tersebut dipilih menerusi teknik persampelan rawak berstrata. Dalam kajian ini, ujian analisis Mann- Whitney U telah digunakan untuk melihat perbezaan persepsi antara pelajar dan juga majikan berkaitan dua (2) jenis kemahiran kebolehpasaran yang dimiliki oleh pelajar dan juga yang diperlukan oleh majikan. Hasil dapatan kajian menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan antara kemahiran kebolehpasaran yang dimiliki oleh pelajar dan juga yang diperlukan oleh pihak majikan berkaitan kemahiran interpersonal dan kemahiran penyelesaian masalah. Dapatan kajian ini boleh dijadikan rujukan terutamanya Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia dalam melaksanakan pelan tindakan untuk mengurangkan jurang perbezaan antara kemahiran kobolehpasaran yang diperlukan oleh majikan dan juga yang diterapkan dalam kalangan pelajar-pelajar persijilan kemahiran Malaysia di pusat-pusat bertauliah, terutamanya pusat bertauliah swasta di Pulau Pinang.