Transformasi Pendidikan Islam Tuan Guru Kiai Haji Muhammad Zainuddin Abdul Majid: Memahami Peranan dan Sumbangan
Keywords:
Transformasi Pendidikan Islam, Tuan Guru Kiai Haji Muhammad Zainuddin Abdul Majid, Peranan dan SumbanganAbstract
Pendidikan Islam yang prinsip asasnya adalah menimba ilmu, mampu membentuk insan yang berakhlak dan berkarakter mulia. Awal kemunculan pendidikan Islam di Indonesia, didikannya adalah melalui pelbagai pendekatan antaranya halaqah dan kuliah am, sebelum era pondok pesantren dan madrasah dilaksanakan. Kini, pendidikan Islam telah mengalami transformasi yang signifikan dengan era kontemporari. Namun, asbab dari pelbagai isu akhlak dan gejala sosial yang berleluasa, wujud kebimbangan tentang sistem pendidikan dan dasar yang diterapkan dalam proses pembelajaran, keperluan untuk mengintegrasikan dan mengharmonikan kurikulum pendidikan Islam dengan sains kontemporari, serta wujud pelbagai isu ketidakseragaman dan ketekalan dalam kurikulum pendidikan Islam. Bagi mengikuti arus peradaban, ramai tokoh terkemuka telah memainkan peranan penting dalam proses ini dan salah seorang tokoh yang dinobatkan adalah Tuan Guru Kiai Haji Muhammad Zainuddin Abdul Majid. Maka, penyelidikan ini bertujuan menjelaskan peranan dan sumbangan transformasi Pendidikan Islam Tuan Guru Kiai Haji Muhammad Zainuddin Abdul Majid dalam pembangunan pendidikan Islam di Indonesia. Penyelidikan ini menggunakan rekabentuk kajian literatur dengan pendekatan kualitatif melalui analisis bahan. Data kemudiannya dianalisis secara deskriptif, tematik, dan interpretatif untuk mencari elemen transformasi Pendidikan Islam Tuan Guru Kiai Haji Muhammad Zainuddin Abdul Majid dalam era kontemporari. Hasil kajian mendapati, melalui refleksi pemikiran dan penubuhan Institut Pendidikan Islam, Tuan Guru Kiai Haji Muhammad Zainuddin Abdul Majid diakui sebagai tokoh yang berpengaruh dalam mengembangkan Pendidikan Islam di Indonesia khususnya di wilayah timur Indonesia. Sistem pendidikan di surau, masjid dan rumah Tuan Guru diiktiraf sebagai pendidikan Islam tradisional dan kontemporari. Kajian turut mendapati, peranan dan sumbangan Pendidikan Islam Tuan Guru Kiai Haji Muhammad Zainuddin Abdul Majid adalah dengan memantapkan sistem secara mengintegrasikan agama dan pengetahuan am serta mampu menubuhkan sebuah Institusi Pendidikan Islam yang mampu bersaing dalam era moden. Menurut Tuan Guru Kiai Haji Muhammad Zainuddin Abdul Majid, terdapat tiga elemen yang perlu diaplikasi dalam transformasi pendidikan Islam iaitu profesionalisme keguruan, akhlak pelajar dan kualiti pendidikan. Melalui konsep transformasi pendidikan Islam ini, ia diyakini mampu melahirkan generasi yang unggul dalam setiap disiplin ilmu bertepatan dengan harapan dan cita-cita Tuan Guru Kiai Haji Muhammad Zainuddin Abdul Majid untuk membentuk karakter pelajar yang soleh dan musleh. Penyelidikan ini memberi sumbangan besar kepada wacana pendidikan Islam dalam era peradaban kontemporari yang menelusuri dinamika kemajuan pelbagai aspek.