Meningkatkan Pembangunan Profesional dan Kompetensi Guru Kementerian Pendidikan Malaysia: Satu Analisis Kritis
Keywords:
Profesionalisme Guru, Kompetensi, Pelan Induk Pembangunan Profesional Keguruan, Standard Guru Malaysia, Pembangunan Profesional BerterusanAbstract
Tahap kompetensi guru yang rendah boleh mengakibatkan pengajaran yang tidak berkualiti dan memberi implikasi yang negatif terhadap perkembangan pembelajaran murid di sekolah. Kertas kajian ini menyediakan analisis kritis terhadap strategi dan program yang telah digunakan dalam meningkatkan pembangunan profesional dan daya saing guru-guru di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Objektif kajian ini adalah untuk mengkaji konsep pembangunan profesional dan kompetensi guru, faktor-faktor yang mempengaruhi pembangunan tersebut, dan keberkesanan strategi dan program yang digunakan untuk meningkatkan nilai profesional keguruan dan daya saing guru-guru di Malaysia. Menggunakan kaedah penyelidikan konseptual, kajian ini mengumpulkan dan menganalisis maklumat dari pelbagai sumber termasuk sumber-sumber literatur, dokumen rasmi, dan laporan penyelidikan terkini yang berkaitan dengan pembangunan profesional dan kompetensi guru-guru KPM. Penemuan kajian menunjukkan bahawa Standard Guru Malaysia (SGM) memainkan peranan penting dalam pengajaran dan pembelajaran matematik, sejarah, bahasa Melayu, bahasa Inggeris, sains, dan pendidikan Islam. Program-program pembangunan profesional seperti kursus, bengkel, dan program latihan adalah penting untuk meningkatkan daya saing guru dalam pengajaran dan pembelajaran. Pelan Induk Pembangunan Profesional Keguruan (PIPPK) dan Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) adalah dua inisiatif utama yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyediakan program pembangunan profesional guru dan meningkatkan daya saing mereka. Kajian ini menyarankan program-program pembangunan profesional guru seperti kursus, bengkel, dan program latihan harus ditingkatkan sebagai aspek penting dalam meningkatkan daya saing dan pengetahuan guru dalam pengajaran dan pembelajaran di Malaysia.